Rajiv Rishyakaran (kiri) melihat proses suntikan pelalian kepada orang kelainan upaya (OKU) menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Sentosa, Petaling Jaya pada 20 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar 700 slot vaksin negeri, galak penduduk hadir

PETALING JAYA, 20 SEPT: Sebanyak 700 dos pelalian disediakan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing hari ini.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata seramai 300 individu selesai menerima suntikan dos pertama dengan sebahagian besarnya membabitkan pekerja asing.

“Selain menguar-uar di media sosial bagi memastikan warga tempatan yang belum menerima vaksin hadir, pusat khidmat juga mengguna pendekatan maklumkan kepada majikan di kawasan sekitar.

“Kaedah ini bagi memastikan warga asing yang belum divaksin untuk datang dan hasilnya setakat ini lebih 60 peratus golongan itu telah divaksin,” katanya ditemui di Pasar Sentosa, Seksyen 17.

Rajiv berkata individu yang menerima suntikan pertama hari ini akan menerima dos kedua mereka pada 11 Oktober di lokasi sama antara jam 9 pagi hingga 5 petang.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan
membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :