Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau menerima bakul makanan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pada 9 September 2021. Foto FACEBOOK V GANABATIRAU
ADNSELANGOR

DUN Kota Kemuning terima 500 bakul makanan sumbangan PKPS

SHAH ALAM, 14 SEPT : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima 500 bakul makanan sumbangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 9 September lalu.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata barangan itu meliputi beras, gula, bawang, ubi kentang, cili kering, minyak masak dan mi segera untuk diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Terima kasih kepada pihak PKPS terhadap sumbangan yang diberikan ini dan pusat khidmat masyarakat akan memastikan bantuan diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau turut meminta ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti sekitar kawasannya untuk mengesan individu atau keluarga yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Bakul makanan ini juga akan diagihkan kepada ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti untuk disampaikan kepada mereka yang layak supaya tiada yang terputus bekalan asas,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.


Pengarang :