Selangorkini
Lee Kee Hiong bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu pada 24 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu belanja lebih RM95,000 untuk bakul makanan

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Lebih RM95,000 dibelanja bagi program agihan bakul makanan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sejak Januari lalu.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata bantuan tersebut diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada masyarakat terputus bekalan keperluan asas.

“Setakat ini kita melihat permintaan kepada bakul makanan semakin berkurang mungkin kerana ramai penduduk kembali bekerja dan sektor ekonomi juga telah banyak dibuka.

“Tetapi program seumpamam ini tetap diteruskan dan masyarakat memerlukan boleh tampil ke pusat khidmat masyarakat Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ialah ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.


Pengarang :