Eksekutif Pembagunan Perniagaan Global Science Syazwan Affandi Zulkipli menunjukkan demonstrasi penggunaan kit ujian kendiri ketika Majlis Penyerahan Saliva Test Kit di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Seri Setia, Bandar Utama utamakan golongan B40 terima kit ujian percuma

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mengutamakan individu positif Covid-19 daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mengagihkan kit ujian kendiri percuma.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata golongan yang positif dan B40 adalah antara mereka terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Kit ujian kendiri ini akan diagihkan selepas satu perjumpaan diadakan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) minggu hadapan untuk membincangkan kaedah agihan.

“Saya jangkakan peruntukan 1,000 unit untuk permulaan ini mencukupi susulan di DUN Seri Setia kes mencatat penurunan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya kini sedang mengumpul nama individu yang layak untuk diberikan kit ujian kendiri itu.

“Perbincangan berhubung agihan kit ujian kendiri ini diadakan dalam masa tiga hari untuk memastikan penggunaannya digunakan lebih efektif untuk golongan memerlukan terutama B40.

“Kita bercadang untuk buat agihan di pusat khidmat masyarakat atau ketika program pemberian bakul makanan,” katanya.

Pada 3 September, Kerajaan Negeri akan mula mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri yang akan diberikan percuma kepada rakyat yang positif Covid-19, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.


Pengarang :