Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan pek sumbangan ketika Program Malaysia N49 Prihatin DUN Sungai Kandis sempena Hari Malaysia di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sungai Kandis santuni tiga kaum, tanda perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyerahkan 60 set makanan keperluan asas MyDapur dan kit kesihatan kepada tiga kaum sebagai simbolik perpaduan rakyat Malaysia.

Wakil rakyat Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata agihan kepada kaum Melayu, Tionghua dan India itu dibuat menerusi program Jelajah Hari Malaysia DUN Sungai Kandis ke Kampung Johan Setia, Taman Telok Menegon dan Taman Sri Andalas.

“Kita beri kepada tiga kaum ini sebagai tanda perpaduan dan simbolik sempena Hari Malaysia kerana kewujudan Malaysia adalah hasil kesepakatan seluruh kaum dan rakyat di negara ini.

Penduduk membawa pulang pek sumbangan ketika Program Malaysia N49 Prihatin DUN Sungai Kandis sempena Hari Malaysia di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Semoga bantuan ini meringankan beban mereka disamping mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, harmoni, menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain meskipun berbeza etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Hari Malaysia DUN Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya hari ini.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengekalkan keharmonian yang telah dikecapi dan memupuk sifat berkasih sayang antara kaum.

“Dengan cara itu kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.


Pengarang :