Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau proses suntikan pelalian dalam program Selvax bergerak di Blok 1 Flat PKNS Seksyen 7,Shah Alam pada 19 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Elak kes melonjak, kerjasama masyarakat penentu kejayaan fasa endemik

SHAH ALAM, 19 SEPT: Peralihan negara ke fasa endemik dijangka akhir bulan depan masih menuntut kerjasama semua pihak untuk kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata norma baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu diteruskan bagi mengelak peningkatan kes Covid-19.

“Persediaan memasuki fasa endemik perlu melibatkan kerjasama seluruh masyarakat, kalau kita memasuki fasa endemik dengan semua tidak bersedia, maknanya akan jadi pandemik semula.

“Kita tengok Sarawak yang mencapai imuniti kelompok, tetapi kembali melonjak 4,000 hingga 5,000 kes, begitu juga Singapura yang merekodkan peningkatan 400 hingga 500 kes termasuk Israel walaupun hampir 100 peratus imuniti kelompok,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Sementara itu, Amirudin berkata rakyat perlu diberi penjelasan terperinci berhubung SOP fasa endemik supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

“Melihat maklum balas orang ramai apabila dibenarkan pelancongan domestik di kawasan negeri masing-masing, petunjuk itu membuktikan kita tidak bersedia terutama sikap,” katanya.

Pada 1 September, menteri kesihatan memaklumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober

Khairy Jamaluddin berkata peralihan fasa tersebut dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa lengkap dos vaksin.

 


Pengarang :