BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: 10,000 baucar pelancongan disedia untuk penduduk Selangor

SHAH ALAM, 20 SEPT: Penduduk Selangor disaran tidak melepaskan peluang mendapatkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang bakal dilancar Oktober ini.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata baucar pelancongan percuma sebanyak 10,000 bernilai RM100 itu hanya boleh didapati di platform e-dagang Shopee.

“Baucar ini akan dilancar pada Oktober dan boleh digunakan serta-merta selain keistimewaan diberi untuk rakyat Selangor sahaja.

“Tujuan kita berikan kepada rakyat negeri ini kerana buat masa ini kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan selain merancakkan industri pelancongan dalam Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 September Loy Sian memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 bagi merancakkan aktiviti sektor berkaitan susulan Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Loy Sian berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan dengan setiap baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan mulai Oktober depan.

Sebelum ini menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta yang diagihkan kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :