Ir Izham Hashim (dua, kanan) meninjau agihan benih padi kepada petani di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 70 peratus kawasan sawah padi rosak berjaya dikawal

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Sebanyak 70 peratus daripada 6,632.4 hektar kawasan tanaman padi di Sabak Bernam yang diserang serangga perosak berjaya dikawal setakat ini.

EXCO pemodenan pertanian berkata kawalan penyakit ulat pengorek batang dan ulat gulung daun dibuat secara berperingkat melalui semburan racun dengan kos lebih RM1 juta.

“Alhamdulillah, kita dapat perbaiki prestasi tempat kena (serangan penyakit). Ada yang kena teruk tetapi kebanyakan bertahan, namun memang menyebabkan hasil padi turun banyak.

“Serangan setiap musim ada cuma tidak serius dan baru-baru ini sangat serius. Situasi kritikal yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan kita terperangkap selain tindakan sedikit lambat,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui pada program lawatan kerja ke Sabak Bernam di Koperasi Wawasan Tani Berhad Parit 15 Simpang Lima dekat sini semalam.

Ir Izham berkata pihaknya akan lebih bersedia sekiranya serangan sama berulang pada masa hadapan.

Pada 1 Jun, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1.035 juta untuk membasmi serangga perosak padi di kawasan terlibat.

Kawasan sawah di Panchang Bedena rosak seluas 3,415 hektar manakala Bagan Terap dan Sungai Panjang (3,217 hektar) akibat serangan tersebut.


Pengarang :