EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO kesihatan minta jangan sebar berita lama babit bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 2 SEPT: EXCO kesihatan awam meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita lama mengenai bantuan RM1,000 kepada pesakit atau waris Covid-19 di negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penularan berita bertarikh 22 Julai 2020 itu menyebabkan seorang lelaki datang ke pejabatnya untuk bertanyakan mengenai bantuan berkenaan.

“Kami beritahu bantuan yang dinyatakan dalam berita di atas ialah bantuan pada tahun 2020 dan sudah pun ditutup hujung Disember 2020.

“Jika anda nampak mesej tular tentang berita ini, mohon jangan di ‘forward’ ke individu atau ‘group’ lain,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Dr. Siti Mariah bantuan berkenaan telah digantikan dengan bantuan khairat kematian RM1,000 kepada waris mangsa Covid-19 yang boleh dimohon melalui www.selangorprihatin.com.

Pada tahun lalu pesakit Covid-19 menerima bantuan RM1,000 tetapi kini waris menerima jumlah yang sama bagi khairat kematian.

Bantuan untuk pesakit diumumkan dalam pakej Selangor Prihatin fasa satu yang sudah tamat tempoh permohonan tetapi pakej Kita Selangor 2.0 mengekalkan jumlah itu kepada keluarga.

Dr itu menjelaskan kekeliruan di media sosial apabila keratan akhbar lama disebarkan semula, seolah-olah bantuan untuk pesakit masih ada.


Pengarang :