Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Majlis perpaduan dan integrasi rangka dasar perpaduan Selangor

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mewujudkan Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) yang bertindak sebagai badan penasihat dan pemikir berkaitan polisi perpaduan di Selangor

EXCO perpaduan berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Institut Darul Ehsan (IDE), Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa badan bukan kerajaan(NGO) bagi merangka dasar tersebut.

“Ini merupakan kali pertama Kerajaan Negeri mewujudkan satu portfolio perpaduan dan integrasi baharu yang mana bermula daripada kosong.

“Langkah ini diambil untuk merangka dasar perpaduan Selangor yang praktikal dan tidak hanya bersifat retorik,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan webinar sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 bertajuk Konsep Demokrasi dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan dan Masa Depan menerusi Facebook Universiti Selangor hari ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata sepanjang bulan kemerdekaan pihaknya juga menganjurkan beberapa program secara dalam talian untuk mendapat maklum balas rakyat.

“Maklum balas ini diperlukan bagi membantu mewujudkan dasar perpaduan di Selangor.

“…Di samping kita juga akan melaksanakan satu sidang bersama Dato’ Menteri Besar pada 19 September nanti bagi memberi ruang kepada rakyat berdiskusi bersama pemimpin mengenai perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk menggerak usaha perpaduan dan integrasi negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor di bawah pimpinan Dr Siti Mariah.


Pengarang :