EXCO Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Mohd Zainal Saari sambil diperhatikan oleh Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam majlis perasmian The Tomanz Tangkap dan Lepas di Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 18 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Wujud fakulti di Unisel usaha majukan e-sukan

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Kerajaan Negeri meneruskan usaha memajukan e-sukan melalui rancangan penubuhan fakulti sukan di Universiti Selangor (Unisel).

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata fakulti tersebut akan menawarkan kursus pembangunan e-sukan kepada penggemar sukan dalam talian.

“Unisel akan menjadi tempat yang mana pemain (e-sukan) belajar dan mendapat sijil pengiktirafan sebelum ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma) atau antarabangsa.

“Kita berharap kerjasama (mewujudkan fakulti sukan) dengan Unisel dapat ditandatangani dalam masa terdekat kerana mahu e-sukan lebih maju seterusnya menjadi negeri pertama mewujudkan modul ini,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian selepas merasmikan pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman sempena pembukaan tasik The Tomanz di kampus Bestari Jaya di sini semalam.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 30 peratus daripada empat fasa inisiatif pembangunan e-sukan di Selangor berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, fasa tersebut ialah membuka peluang dan latihan kepada belia bermain sukan dalam talian.

“Sekarang adalah fasa untuk pemain e-sukan dengan pendidikan dan akan dihantar ke sini (Unisel). Apa yang penting, bidang ini bukan lagi dilihat sebagai perkara sampingan,” katanya.


Pengarang :