Anggota penguat kuasa MPKL menjalankan operasi pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) dan halangan kaki lima di premis makanan sekitar Bandar Rimbayu, Kuala Langat, Banting pada 11 September 2021. Foto FACEBOOK MPKL
PBTSELANGOR

Gagal patuh SOP, tujuh premis makanan di Banting kena kompaun

SHAH ALAM, 13 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan 11 notis kompaun terhadap pengusaha tujuh premis makanan di sekitar Bandar Rimbayu, Banting kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata notis pelbagai kesalahan dikeluarkan pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada operasi pemantauan SOP dan halangan kaki lima kelmarin.

Menurutnya, kesalahan dilakukan peniaga antaranya beroperasi tanpa lesen yang melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007.

“Lima notis dikeluarkan atas kesalahan meletak meja dan kerusi di kaki lima kedai tanpa permit mengikut Seksyen 46 (1)(d), Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Satu notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya memaklumkan kesalahan itu mengikut Seksyen 109, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau berkata tiga notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai apron mengikut UUK 8(5), Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan.

“Satu notis kesalahan dikeluarkan kepada peniaga yang mempamerkan iklan tanpa lesen mengikut UUK 7, Undang-Undang Kecil Iklan MDKL 2007,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Amirul Azizan berkata pemantauan akan sentiasa dijalankan supaya peniaga dan pelanggan tidak melanggar peraturan PBT termasuk SOP MKN bagi membendung penularan Covid-19


Pengarang :