DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alae’ddin Sulaiman Shah Alhaj ketika dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1960. Foto Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Genap 61 tahun nenda Sultan Selangor mangkat

SHAH ALAM, 1 SEPTEMBER: Tanggal 1 September 1960 iaitu 61 tahun yang lalu nenda kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mangkat.

DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alae’ddin Sulaiman Shah Alhaj yang juga Sultan Selangor ketujuh mangkat pada usia 62 tahun.

Menerusi perkongsian Facebook Selangor Royal Office, Almarhum mangkat di Istana Tetamu, Kuala Lumpur secara mengejut pada hari baginda sepatutnya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua Persekutuan Tanah Melayu.

“Almarhum adalah satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang tidak sempat ditabalkan dan tidak pernah bersemayam di Istana Negara meskipun sempat lima bulan menjawat jawatan itu.

“Almarhum meninggalkan balu, Tengku Ampuan Jemaah, empat putera dan tiga puteri. Almarhum yang diputerakan pada 13 Mei 1898, dimakamkan di Makam Diraja Klang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum,” kata perkongsian berkenaan.

Selangor Royal Office juga turut berkongsi dua gambar Almarhum ketika berada di Belanda pada tahun 1951 dan gambar ketika pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1960.

 

Foto Facebook Selangor Royal Office.

Pengarang :