Dua Orang Kelainan Upaya turut mengambil bahagian dalam acara Larian Ulang Tahun ke-3 Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada 12 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANA

Giatkan program hari tanpa kenderaan untuk udara bersih, hidup kualiti

Oleh Balkish Awang
Rencana ini bersempena Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api pada 21 Sept dan Hari Tanpa Kereta pada 22 Sept

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Tidak dapat dinafikan udara berkualiti merupakan satu nikmat yang memberikan impak besar kepada semua jenis hidupan di muka bumi ini. Udara berkualiti bermakna kehidupan yang lebih berkualiti, khususnya dalam aspek kesihatan.

Namun, aktiviti pembangunan yang pesat seiring peredaran masa menyaksikan kemerosotan kualiti udara yang dialami oleh semua negara di dunia ini, menyebabkan sebahagian negara maju telah mula mengorak langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Malaysia juga tidak ketinggalan sekalipun usaha yang dilakukan belum lagi secara menyeluruh. Antara usaha itu ialah sambutan Hari Tanpa Pencemaran Bahan Api dan Hari Tanpa Kereta. Namun, kedua-dua program menuntut penglibatan orang ramai bagi memastikan kejayaan.

Setakat ini, Hari Tanpa Kereta dilaksanakan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2017 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2014.

Mengulas perkara itu, Felow Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Fariz Mohamed berkata MBSA melaksanakan program Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam pada Ahad minggu kedua setiap bulan.

Program itu adalah sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2030. Bagaimanapun program tersebut tidak dilaksanakan secara fizikal sekarang berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Program anjuran DBKL pada 2014 dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia dan OCBC Bank pula membabitkan tujuh jalan utama iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Tun Perak. Juga tidak dilaksanakan semasa pandemik. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dengan bilangan yang terlibat untuk kedua-dua program sangat ramai,” katanya kepada Bernama.

Berhubung keberkesanan program berkenaan, Ahmad Fariz berkata disebabkan kedua-duanya hanya dilaksanakan pada hari dan waktu tertentu di kawasan dan jalan tertentu di Shah Alam dan Kuala Lumpur, maka kesannya tidak signifikan bagi keseluruhan bandar.

“Usaha DBKL dan MBSA menganjurkan hari tanpa kenderaan pada hari tertentu amat baik, namun pelaksanaannya terpaksa dilakukan pada hujung minggu, bukan pada hari bekerja. Program juga tidak meliputi keseluruhan Shah Alam dan Kuala Lumpur. Maka program ini hanya memberi kesan yang tidak signifikan dalam konteks pelepasan bahan cemar udara daripada kenderaan kerana kawasan lain tidak terlibat dan kenderaan masih bebas bergerak,” katanya.

TIADA PROGRAM HARI TANPA BAHAN API

Berhubung sambutan Hari Tanpa Bahan Api yang dapat mengurangkan pencemaran udara, Ahmad Fariz berkata program seumpama itu tidak pernah dilaksanakan di Malaysia, terutama oleh mana-mana agensi kerajaan.

Menurutnya, kajian menunjukkan kawasan bandar dan perindustrian merupakan wilayah yang mengalami pencemaran udara akibat pembakaran bahan api yang lebih teruk berbanding kawasan lain. Sebahagian besar kawasan perindustrian di Malaysia berada di bawah pentadbiran PBT.

“Maka peranan pihak PBT amat kritikal. Selain daripada program Hari Tanpa Kenderaan, aspek lain untuk meningkatkan kesedaran awam juga perlu diberikan perhatian, terutama oleh pihak berkuasa tempatan dengan sokongan agensi lain khususnya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran pihak awam perlu dilakukan dengan lebih meluas. Aktiviti bersemuka dan libat urus masyarakat perlu dilakukan lebih kerap. Aktiviti pendidikan dan kesedaran perlu dibentuk dengan merujuk kepada keperluan setiap kumpulan masyarakat.

“Program untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, masyarakat awam, pihak industri dan syarikat swasta, malah untuk agensi kerajaan sendiri, perlu direka bentuk bagi memastikan kefahaman yang baik dan seterusnya meningkatkan kesedaran serta menggalakkan lebih amalan dalam kalangan kumpulan sasaran,” katanya.

PENGGUNAAN BAHAN API KENDERAAN DARAT PALING TINGGI

Kenderaan darat di Malaysia mencatatkan penggunaan bahan api paling tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pencemaran bahan api di negara ini.

Ahmad Fariz berkata berdasarkan statistik jumlah kenderaan di atas jalan raya di Malaysia (sumber JPJ bagi 2000, 2016, 2018), jumlah kenderaan meningkat secara kumulatif dari 9,141,357 pada 1998 kepada 32,378,174 pada 2020.

“Peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 350 peratus itu telah menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api, terutamanya petrol dan diesel, di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, Menteri Sumber Asli Kanada pada 2014 menyatakan pembakaran satu liter petrol dianggar menghasilkan 2.3 kilogram karbon dioksida (CO2).

“Purata penggunaan petrol untuk setiap kenderaan di Kanada ialah sebanyak 2,000 liter. Ini akan menghasilkan 4,600 kg karbon dioksida. Oleh itu, jika menggunakan asas tersebut, dianggarkan jumlah pelepasan CO2 oleh kenderaan di Malaysia meningkat dari 42,050,242.20 tan pada 1998 kepada 148,939,600.40 tan pada 2020. Namun begitu, ini cuma maklumat anggaran dan memerlukan kajian terperinci,” jelasnya.

Beliau berkata peningkatan pelepasan bahan cemar karbon oleh kenderaan di Malaysia turut dilaporkan dalam dokumen Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2019.

Menurut laporan itu, jumlah pelepasan karbon per kapita Malaysia ialah sebanyak 7.9 tan/kapita pada 2011, melebihi purata negara berpendapatan sederhana yang mencatatkan 5.4 tan/kapita. Kenderaan darat merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 90 peratus (48,200 kilotan), dan daripada jumlah itu, 67 peratus disumbangkan oleh kereta.

KURANG PENCEMARAN UDARA KETIKA PKP DAN PPN

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas dan sekatan pergerakan di bawah fasa satu Pelan Pemulihan Negara susulan penularan COVID-19, turut mengurangkan pelepasan bahan cemar ke udara berikutan penurunan ketara jumlah kenderaan di jalan raya.

Ahmad Fariz berkata perkara itu adalah dapatan kajian yang dijalankan oleh beberapa penyelidik tempatan.

Menerusi kajian (2021) bertajuk “Air pollution impacts from Covid-19 pandemic control strategies in Malaysia. Journal of Cleaner Production” yang dijalankan oleh pensyarah di LESTARI UKM, Dr Murnira Othman dan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM Prof Dr Mohd Talib Latif berhubung kepekatan bahan cemar udara untuk dua keadaan iaitu sebelum dan semasa PKP, terdapat perbezaan bagi bahan cemar PM10 (habuk halus); PM2.5; SO2 (sulfur dioksida); NO2 (nitrogen dioksida); O3 (ozon) dan CO (karbon monoksida).

“Berdasarkan analisis bagi dua tempoh kajian iaitu pertama dari 1 Jan hingga Mac 2020 dan kedua dari 18 Mac hingga 21 April 2020 melibatkan sembilan bandar di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Ipoh dan Alor Setar, didapati kepekatan semua bahan cemar yang dikaji telah menunjukkan penurunan yang agak signifikan.

“Kepekatan NO2 menurun secara purata 40 peratus dengan jumlah penurunan tertinggi ditunjukkan di Kota Kinabalu sebanyak 62 peratus. Bagi bahan cemar PM10; PM2.5; SO2; O3 dan CO, penurunan yang signifikan berlaku di Kota Kinabalu (17 peratus), Kuantan (9.5 peratus), Alor Setar (38 peratus), Kota Bharu (15 peratus) dan Ipoh (27 peratus),” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Fariz berkata keadaan kualiti udara yang sangat baik itu tidak berkekalan kerana jumlah kenderaan di jalan raya kembali meningkat selepas PKP tamat pada April 2020.

Justeru kata beliau, langkah terbaik dalam mengurangkan pencemaran bahan api ialah menerusi sistem pengangkutan awam yang cekap termasuk memastikan kesalinghubungan kawasan yang luas bagi meningkatkan jumlah pengguna.

“Aspek seperti rangkuman kawasan yang luas dengan banyak stesen pengangkutan awam untuk bas, tren, teksi, disokong dengan kecekapan pergerakan kenderaan awam yang patuh masa, infrastruktur stesen yang mampu menampung keperluan pengguna yang ramai, terutama tempat letak kenderaan, amat penting untuk mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian di atas jalan raya, terutamanya di kawasan bandar, ” katanya, menambah usaha itu sedang giat dilaksanakan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Peningkatan infrastruktur dan kecekapan pengangkutan awam di bandar-bandar utama Malaysia akan membantu mengurangkan bilangan kenderaan masuk ke bandar, terutamanya pada hari bekerja dan waktu puncak, katanya.

Selain itu, beliau berkata ketersediaan akses kepada kenderaan mesra alam merangkumi kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan hibrid, kenderaan elektrik dan kenderaan sel fuel turut perlu diberikan perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) Zikrullah Ismail menekankan kepentingan membentuk masyarakat lestari, sekali gus menjadikan mereka lebih memahami perkara serta dasar berkaitan misi rumah hijau.

“Masyarakat akan lebih peka dengan isu berkaitan pelepasan gas rumah hijau termasuk isu pelepasan karbon jika banyak sesi libat urus dan dasar berhubung perkara ini dilaksanakan di peringkat negeri dan nasional serta pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata LEKAS lebih bersetuju jika syor mengurangkan trafik dilihat secara menyeluruh dengan menerima guna perkara-perkara berkaitan yang mampu mengurangkan pelepasan asap daripada pengangkutan.

“Seperti di Pulau Pinang, kerajaan negeri ada mencadangkan projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang mana ideanya untuk mengurangkan trafik. Jadi kita tegaskan bentuk bagaimana penyuraian trafik yang mahu dibuat. Perlu lihat apa acuan dan modelnya. Jika langkah itu memberi hak yang lebih kepada kereta dan menyebabkan pembangunan begitu banyak infrastruktur jalan raya yang mengundang lebih banyak kenderaan persendirian, maka lebih memberikan implikasi.

“Jadi kita tidak bersetuju, tetapi jika PTMP melebihkan kenderaan awam kita lebih bersetuju,” katanya dan menambah penggunaan kenderaan elektrik sebagai pengangkutan awam seperti bas elektrik oleh sistem Bas Rapid Transit adalah antara cara terbaik dalam mengurangkan pencemaran udara.

Beliau juga berkata pelebaran jalan raya dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik hanya akan meningkatkan lagi jumlah kenderaan di atas jalan.

-BERNAMA


Pengarang :