Kaji selidik Persatuan Hotel Malaysia menunjukkan tempahan bilik hotel merudum ke tahap membimbangkan, sehingga hanya 35 peratus pada minggu pertama Oktober, 30 peratus pada minggu kedua dan hanya 20 peratus pada minggu akhir Oktober. Foto: BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Guna dana RM15,000 bantu pekerja hotel terjejas di Selangor

SHAH ALAM, 26 SEPT: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor memanfaatkan sumbangan RM15,000 daripada Kerajaan Negeri dengan menyediakan bantuan makanan kepada pekerja hotel terjejas akibat Covid-19.

Naib Presidennya Nazri Ahmad berkata dana di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 itu diguna untuk menyediakan 860 kotak makanan baru-baru ini dan bantuan susulan akan diagih dalam masa terdekat.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana melaksanakan pelbagai inisiatif membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Dari baucar pelancongan sehingga tambahan RM15,000 kepada 17 persatuan termasuk MAH, langkah-langkah ini dapat mengurangkan beban serta memulihkan semula bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara Media Selangor bertajuk ‘Apa khabar pelancongan Selangor’ disiarkan di Facebook pada Jumaat lalu.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi industri pelancongan.

Ia merangkumi RM1 juta bagi geran bantuan kewangan, RM1 juta bagi baucar pelancongan, RM300,000 untuk latihan pembelajaran pendigitalan dan RM255,000 bantuan kepada 17 persatuan pelancongan.

Bayaran kepada persatuan pelancongan itu diagih pada 9 September lalu.


Pengarang :