Jururawat Aina Syafiqa Azli memasukkan vaksin Covid-19 ke dalam picagari sebelum melakukan suntikan kepada penerima ketika tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Sime Darby Plantation, Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guru enggan divaksin diberi tugas lain, kata menteri pendidikan

YAN, 4 SEPT: Seramai 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti, berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata terdapat banyak tugasan lain di sekolah yang boleh dilakukan guru berkenaan.

“Pada masa sama kami juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru-guru ini, insya-Allah saya sendiri akan berhubung dengan sebahagian daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, di sini hari ini, selepas melawat kesan banjir akibat fenomena kepala air di daerah Yan pada 18 Ogos lepas.

Semalam, Radzi dilaporkan sebagai berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Tindakan berkenaan diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Radzi berkata pihak sekolah masih menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan gambaran awal mengenai penerimaan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mengambil suntikan vaksin.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada ibu bapa. Itu bukan satu arahan, tetapi tinjauan untuk mendapat gambaran sedikit sebanyak kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) dan CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :