Guru warga Rusia Vladimir Vasilyev menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di gelanggang bola keranjang Kampung Chempaka, Petaling Jaya pada 25 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guru warga Rusia lega terima vaksin negeri sebelum sekolah dibuka

PETALING JAYA, 26 SEPT: Seorang guru warga Rusia menarik nafas lega apabila menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama semalam.

Vladimir Vasilyev, 37, berkata sebagai pendidik beliau perlu segera menerima vaksin kerana sekolah akan dibuka tidak lama lagi dan ia adalah antara ketetapan kerajaan dalam pembukaan semula institusi itu.

“Saya mengetahui Selvax menerusi carian mengenai Sinovac kerana saya mencari vaksin jenis berkenaan. Berdasarkan maklumat Sinovac adalah antara vaksin yang boleh dipercayai,” katanya yang mengajar matematik di Sekolah Antarabangsa UCSI.

Chin Yi Meng

Seorang warga emas, Chin Yi Meng, 76, berkata beliau sudah lama menanti program vaksin seperti ini kerana diadakan dalam skala yang kecil tanpa melibatkan ramai peserta.

“Saya takut tengok ramai orang di PPV (pusat pemberian vaksin), mungkin boleh dapat penyakit bila terlalu ramai. Jadi bila ada program seperti ini saya terus datang kerana lebih selamat.

“Sebelum ini ada juga kawasan lain adakan program ini tetapi saya tidak sempat datang kerana lambat tahu,” katanya yang turut membawa pembantu rumahnya untuk turut sama menerima vaksin.

Program percuma anjuran Kerajaan Negeri itu berjalan sejak 12 September lalu di seluruh DUN dan Parlimen secara berperingkat.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :