Penguatkuasa MBSJ mengeluarkan notis tawaran kompaun kepada pemilik kenderaan atas kesalahan menghalang lalu lintas dalam operasi bersepadu halangan lalu lintas di Jalan Pipit 4, Puchong Jaya, Puchong pada 22 September 2021. Foto Facebook MBSJ
PBTSELANGOR

Halang lalu lintas, MBSJ keluar 82 notis tawaran kompaun

SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 82 notis tawaran kompaun terhadap pemilik kenderaan atas kesalahan menghalang lalu lintas di Jalan Pipit 4, Puchong Jaya pada Rabu.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan korporatnya berkata notis mengikut Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 dikeluarkan semasa operasi bersepadu dijalankan bersama polis Serdang.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan polis turut mengeluarkan 30 saman POL 170A kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam operasi jam 10 pagi itu.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berikutan kesalahan menghalang lalu lintas dilakukan pemilik kenderaan dengan meletak kenderaan mereka di bahu dan selekoh jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan terhadap halangan lalu lintas akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendidik orang awam.

“Penguatkuasaan ini bagi memastikan jalan raya selamat daripada sebarang halangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” kata Azfarizal.


Pengarang :