Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 400 sekolah di Selangor terlibat program vaksin remaja

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, kata pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah yang terlibat adalah institusi di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sekolah swasta.

“Pelaksanaan PICK Remaja di Selangor bagi pelajar tingkatan 4 dan 5 bermula 20 September lalu dan jumlah keseluruhan terlibat ialah 148,298 yang mana seramai 6,095 merupakan pelajar yang bersekolah asrama di luar Selangor.

“Sejak memulakan program vaksin terhadap kumpulan ini bermula 20 September seramai 2,529 pelajar telah menerima suntikan dan semuanya hadir memberi kerjasama,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata 25 pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah dibuka untuk kelancaran proses vaksinasi secara janji temu.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.


Pengarang :