Orang ramai bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir separuh kes Covid-19 tiada sejarah terima vaksin

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Sebanyak 44.8 peratus atau 8,544 kes daripada jumlah keseluruhan 19,057 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tiada sejarah vaksinasi Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, sebanyak 4,393 kes atau 23.1 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 atau kurang 14 hari dari tarikh dos kedua.

“Sebanyak 6,120 kes atau 32.1 peratus daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah vaksinasi lengkap dan sebahagian besar daripada mereka berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) yang dicatatkan hari ini ialah 104 kes dan ia adalah jumlah kes kematian di rumah tertinggi sejak pandemik melanda.

Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada hari ini ialah 0.96.

Negeri yang mencatatkan kadar Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.14 manakala Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt terendah iaitu 0.79, katanya.

Sebanyak 16 kluster baharu dilaporkan hari ini berbanding 34 kluster baharu pada Jumaat dan daripada keseluruhan kluster baharu itu, 12 merupakan kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan.

-BERNAMA


Pengarang :