Cikgu Farah Hanim Abdul Majid memasang kod bar pada beg Qaireen Qeesya Mohd Nasir bertujuan mencatatkan kehadiran dan suhu badan murid pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid Tahun Satu hingga Empat di Sekolah Putrajaya Presint 9 (1) pada 22 Julai 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya 0.7 peratus guru di Selangor belum terima vaksin

KUALA SELANGOR, 24 SEPT: Hanya 0.7 peratus atau kira-kira 300 guru sahaja yang belum menerima vaksin Covid-19 daripada 61,000 guru yang berkhidmat di Selangor, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Anismah M Nor.

Beliau berkata susulan itu guru-guru tersebut masih dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa, tetapi tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas selaras dengan ketetapan yang diberi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mereka yang belum divaksin digalakkan mengajar murid secara dalam talian, kerana kita bimbang sekiranya interaksi secara bersemuka boleh mendatangkan kesan atau jangkitan kepada warga sekolah,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Prestij Pembelajaran 2021 Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar di sini hari ini.

Anismah berkata golongan tersebut memberikan pelbagai alasan peribadi, namun pihaknya akan terus menggunakan pelbagai pendekatan termasuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi menasihati dan membimbing guru supaya mengambil vaksin Covid-19.

Terdahulu, Noh mengumumkan peruntukan RM30,000 akan diberikan kepada setiap daerah bagi pelaksanaan Prestij Pembelajaran di seluruh Selangor, susulan kejayaan program itu yang dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor pada tahun lalu.

Katanya Prestij Pembelajaran akan menumpukan para pelajar dari golongan B40 bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta murid pemulihan khas bagi penguasaan 3M (menulis, membaca, mengira) yang akan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Yayasan Bank Rakyat.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi penyediaan modul-modul yang sesuai untuk anak-anak pelajar dan bayaran sagu hati kepada guru-guru yang terlibat serta untuk program motivasi,” katanya.

Menurutnya Prestij Pembelajaran merupakan satu nilai tambah untuk anak-anak menuntut ilmu bagi subjek-subjek terpilih di luar waktu persekolahan, yang diadakan pada waktu malam atau hujung minggu secara bersemuka atau dalam talian mengikut kesesuaian.

– BERNAMA


Pengarang :