Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya 247 kes baharu babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Sebanyak 2.2 peratus atau 247 daripada 11,332 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi membabitkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 11,085 kes atau 97.8 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 23 adalah kes import melibatkan 18 warganegara dan lima rakyat asing manakala 11,309 kes pula melibatkan penularan dalam negara membabitkan 10,475 warganegara dan 834 rakyat asing.

“Sebanyak 14,160 kes sembuh turut dicatat menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 2,020,099 iaitu 91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 986 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 848 yang disahkan positif Covid-19 manakala 138 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 574 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 369 yang disahkan positif Covid-19 manakala 205 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 15 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya membabitkan penularan dalam komuniti dan enam lagi berkaitan tempat kerja.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.90 manakala Pahang mencatat nilai 1.0.

Kesemua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perlis dan Putrajaya masing-masing 0.99; Kelantan, Perak, Terengganu dan Melaka masing-masing 0.97; Sarawak dan Johor masing-masing 0.93; Pulau Pinang (0.90); Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 0.88; Sabah (0.86); Kedah (0.85); Kuala Lumpur (0.84); manakala Labuan (sifar).

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan dalam laman Github dan laman sesawang CovidNow menerusi https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :