AGENDANASIONAL

Harga RON95 dan diesel kekal, RON97 naik dua sen

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Harga runcit petrol RON95 dan diesel, masing-masing kekal pada kadar RM2.05 dan RM2.15 seliter sehingga 29 Sept, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter daripada RM2.73 kepada RM2.75 mulai esok sehingga 29 September.

Menurut Kementerian Kewangan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

– BERNAMA


Pengarang :