Selangorkini
Kakitangan Sutera Globals Muhammad Hakimin Nor Azime, 20, menitiskan sampel air liur pesakit pada kit ujian kendiri ‘Gmate Covid-19 Rapid Antigen Test’ buatan Korea pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Harga runcit kit ujian kendiri ditetapkan RM19.90 mulai Ahad

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan menetapkan harga siling runcit maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM19.90, berkuat kuasa pada 5 September.

Dalam kenyataan bersama hari ini, menteri perdagangan dalam negeri dan menteri kesihatan turut memaklumkan harga borong kit ujian tersebut dijual maksimum RM16.

“Kerajaan sedar situasi Covid-19 di negara kita dan seluruh dunia masih belum pulih malah situasi yang melanda sekarang adalah lebih mencabar,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Khairy Jamaluddin.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap kit ujian pantas antigen Covid-19 dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.”

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan seperti yang berlaku kepada harga pelitup muka.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua menteri turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi haraga kawalan tersebut.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” kata mereka.

Kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikenakan hukuman seperti berikut:

1. Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

2. Syarikat: boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000

 


Pengarang :