Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hari Malaysia: Penduduk perlu bersama pelihara keamanan negara

SHAH ALAM, 15 SEPT: Rakyat perlu menghargai detik bersejarah penyatuan tiga entiti yang membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia dengan mempertahankan dan mengukuhkan keharmonian antara kaum.

Pengacara dan personaliti televisyen Rashid Salleh berkata tanpa gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, rakyat tidak akan merasai kemajuan serta pembangunan seperti hari ini.

“Kita mesti ingat bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan membentuk nama dan negara Malaysia. Jadi, penting untuk semua rakyat mengekalkan serta mengukuhkan lagi perpaduan yang ada.

“Penyatuan ini sangat unik kerana kita hidup dalam satu keluarga besar yang terdiri daripada kepelbagaian kaum serta bangsa. Tidak kisahlah sama ada seseorang itu Melayu tetapi muka seperti Cina atau sebaliknya,” katanya

Beliau berkata demikian menerusi program borak santai ‘Oh Sarawak, apa khabar kitak? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Miri, Sarawak Dr Ravivarma Rao menasihati masyarakat supaya memanfaatkan kemakmuran dikecap ketika ini untuk berkenalan dengan semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

“Malaysia milik kita semua dan kita perlu berganding-bahu menjaga serta memelihara keamanannya. Kalau boleh kurangkan prasangka buruk sebaliknya lebihkan rasa ingin kenal dengan semua.

“Mungkin ada segelintir yang masih belum sedar bahawa Malaysia dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa, namun saya harap mereka buka mata dan ambil peluang ini sebaiknya,” katanya.

Menyorot kembali perjalanan pembentukan Malaysia 58 tahun lalu, penubuhan negara membabitkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Pengisytiharan itu dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963 dengan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj di hadapan lebih 30,000 rakyat.

Bagaimanapun, pada 1965, Singapura menarik diri dari Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara Republik berikutan beberapa masalah politik dalaman.


Pengarang :