Bendera Jalur Gemilang bersaiz 40 kaki lebar dan 20 kaki tinggi ini dihasilkan dari sumbangan 500 baju terpakai penduduk berbilang kaum di Balakong.
AGENDANASIONAL

Hari Malaysia: Perspektif dahulu dan kini di Tawau

TAWAU, 16 SEPT: Sudut pandangan generasi terdahulu dan sekarang daerah pantai Timur Sabah iaitu Tawau mempunyai banyak perbezaan dengan pembangunan serta kehidupan masyarakat di daerah itu setelah 58 tahun bersama membentuk Malaysia

Bekas Ketua Daerah Tawau Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar, 72, berkata Hari Malaysia, diraikan saban tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia, mengingatkannya kepada perjuangan generasi terdahulu yang mahu merubah kehidupan Sabah amnya Tawau ke arah lebih baik.

“Pada 16 Sept 1963, saya berusia 14 tahun, dan pada tarikh itu melalui radio saya mendengar pengumuman pembentukan Malaysia dengan gabungan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah serta Singapura yang hingga kini membawa kesan positif dalam banyak aspek termasuk ekonomi dan keselamatan.

“Kalau ada yang kata kita masih mundur itu silap, dulu saya ke sekolah naik basikal ke St Patrick dari Jalan Utara semua lihat pokok getah sahaja, tetapi kini setelah 58 tahun Tawau menjadi bandar serta dikenali hub pendidikan bagi pantai timur (Sabah),” katanya kepada Bernama di sini.

Kee Mohd Ayub berkata keselamatan Sabah juga terjamin dengan bukti awal apabila konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia kerana pembentukan Malaysia, yang kesannya turut dirasai di Tawau serta Pulau Sebatik, beratus anggota keselamatan dari Tanah Melayu dihantar ke sini.

“Askar Gurkha dihantar ke Tawau dan Pulau Sebatik, begitu juga Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditempatkan di Kalabakan, sehingga pada 29 Dis 1963 tercetus pertempuran antara pasukan keselamatan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang menceroboh masuk melalui Kalabakan,” katanya.

Bagi Abd Mansah Abdul Samad, 44, pula Hari Malaysia itu mengingatkannya kepada kisah pengorbanan pasukan keselamatan serta kenangan terhadap bapanya, Abdul Samad Piatu sebagai anggota keselamatan Home Guard yang bertugas ketika peristiwa konfrontasi Kalabakan.

“Hanya ahli keluarga dan generasi lama Kampung Kalabakan tahu kisah mereka, ayah turut bertempur bersama tentera dan polis menentang TNI ketika peristiwa konfrontasi berlaku, ayah memberitahu dia bersama enam rakan lain serta seorang polis berada di Balai Polis Kalabakan sebelum diserang hendap oleh pihak TNI.

“Tanpa Home Guard mungkin Balai Polis Kalabakan sudah ditawan, bapa sanggup menggadai nyawa keluar dari tempat perlindungan untuk mengambil bekalan peluru dalam stor balai polis meskipun dihujani tembakan musuh, pengorbanan bapa sangat besar,” katanya yang menambah bapanya meninggal dunia pada 1979.

Abdul Mansah berkata selama 58 tahun Sabah berkembang meskipun tidak sepesat negeri lain namun kemajuan itu dapat dirasai hingga ke daerah pendalaman seperti Kalabakan, yang mana ia sudah mempunyai jalan raya berturap dari Bandar Tawau hingga ke Keningau, selain bekalan air bersih dan elektrik 24 jam.

Sementara itu, Hari Malaysia bagi Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau Komander Amiludin Yenggah adalah perjuangan memberi keselamatan kepada komuniti maritim di Tawau dengan memastikan 24 jam pemantauan serta pengawalan perairan daerah ini.

“Saya berharap seluruh anggota APMM Tawau memperoleh kekuatan menghadapi cabaran dalam menjalankan tugas semasa apatah lagi dengan berlakunya penularan Covid-19 ini.

“Pasukan kami bukan sahaja perlu menghadapi kemasukan pendatang tanpa izin di perairan Tawau tetapi terpaksa berhati-hati dengan penularan Covid-19 yang dibawa oleh pendatang, sepanjang terlibat dalam Op Cegah PATI (OCP), seramai 25 anggota Zon Maritim Tawau didapati positif Covid-19,” katanya.

Di samping itu, perspektif Hari Malaysia bagi Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawau Dr Nurshazrah Najwa Zaini adalah optimis memerdekakan keluarga Malaysia daripada Covid-19 melalui program vaksinasi.

“Harapan lebih tinggi kerana hampir dua tahun petugas kesihatan berkorban tenaga dan masa melebihi tuntutan tugas demi memastikan mereka yang dijangkiti virus maut ini mendapat rawatan terbaik.

“Program vaksinasi dijalankan sejak April lepas dan petugas kesihatan masuk ke setiap pelusuk Tawau dan Kalabakan meredah hutan serta pulau untuk memberikan vaksin kepada penduduk,” katanya yang turut merasai bertugas di pusat pemberian vaksin Kampung Mentadak Pulau Sebatik.

Pulau Sebatik adalah kawasan pertama di Tawau mencapai imuniti kelompok dengan 98 peratus penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19.

– BERNAMA

 


Pengarang :