Khidmat ECRL akan menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang. Foto Facebook ECRL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hormat keputusan Selangor laksana ECRL jajaran selatan demi sumber air

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan persekutuan diminta menghormati pendirian Kerajaan Negeri agar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor dilaksana di jajaran selatan bagi mengelak pencemaran sumber air.

Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pameran awam penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu untuk laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang bermula semalam sehingga 19 Oktober depan membayangkan Putrajaya tidak berganjak dengan cadangannya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju jajaran Selatan melalui Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat kerana kesan minimum kepada alam sekitar berbanding di bahagian utara yang melalui kawasan tadahan serta sumber air membabitkan Sungai Selangor.

“Sekiranya berlaku pencemaran, Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang bakal dihenti tugas dan tidak boleh membekalkan air kepada 70 peratus pemegang akaun di Lembah Klang.

“Kesan sosial juga bakal dirasai kampung tradisi dan Orang Asli yang terpaksa dipindah ke kawasan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian menegaskan kedegilan kerajaan pusat menyebabkan Kerajaan Negeri mungkin tidak membantu proses pengambilalihan tanah.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memanfaatkan sepenuhnya pameran awam EIA projek ECRL laluan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang untuk mengemukakan bantahan.

Laporan EIA itu boleh dibaca menerusi pautan https://bit.ly/ECRLC2EIA dan memberikan ulasan di https://bit.ly/ECRLC2_EIAFEEDBACK.

Dokumen itu turut dipamer di Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya dan Agensi Pengangkutan Awam Darat di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur.

Selain itu, di Pejabat JAS Selangor di Wisma Sunwaymas, Shah Alam; Menara Majlis Perbandaran Selayang; Majlis Perbandaran Kuala Selangor; Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor.


Pengarang :