Sebahagian ibu bapa membawa anak mendaftar bagi menerima suntikan pelalian Covid-19 ketika progam vaksinasi remaja dan murid berkeperluan khas Daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ibu bapa anak istimewa beri kerjasama, permudah suntikan vaksin

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Ibu bapa kepada anak istimewa memberi kerjasama baik dan bersetuju anak mereka menerima suntikan pelalian Covid-19.

Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Seri Cahaya Ijok berkata semua tujuh ibu bapa kepada pelatih di situ tidak membantah ketika dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Mereka semua tidak ada masalah, masing-masing beri kerjasama apabila PKD (pejabat kesihatan daerah) telefon minta datang mereka pun datang tanpa mempersoalkannya,” kata Hamizah Azman.

Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Seri Cahaya Ijok Hamizah Azman. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada program suntikan vaksin remaja di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini hari ini.

Hamizah berkata hampir semua pelatih yang ditemaninya memberi kerjasama baik ketika menerima suntikan.

“Hanya Ecah (Nur Aisyah Balqis Kosmi) sahaja sebab dia tantrum jadi kena alihkan pandangan dari tengok jarum baru ok sebab dia rasa terancam,” katanya.

Hari ini Dato’ Menteri Besar berkata terdapat tiga kaedah yang perlu diikuti remaja negeri ini bagi pendaftaran suntikan vaksin mengikut kategori sekolah masing-masing.

Bagi remaja bersekolah asrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah asrama harian, janji temu perlu dibuat melalui MySejahtera, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara remaja di sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian serta sekolah antarabangsa perlu mengikut jadual vaksinasi yang boleh disemak melalui sekolah.


Pengarang :