Beberapa individu menunggu giliran untuk divaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Hulu Bernam di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam pada 14 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ibu bawa anak OKU suntik vaksin, persediaan ke sekolah pada Oktober

HULU BERNAM, 14 SEPT: Seorang ibu membawa anak orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak sebagai persediaan ke sekolah pada Oktober.

Norfadzillah Abdul Karim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Norfadzillah Abdul Karim berkata Muhd Nazrul Aiman Abdul Rahim, 19, perlu divaksin memandangkan berisiko terdedah jangkitan ekoran bergaul dengan ramai pihak ketika bersekolah.

“Sebelum ini tak cucuk sebab sekolah tutup tapi bila kerajaan umum PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) dibuka terus saya bawa dia ambil vaksin kerana risau kesihatan dia.

“Dia seronok dan teruja naik bas, mungkin dia ingat nak pergi jalan-jalan, sudah lama sangat tak keluar, tetapi masa suntik dia diam saja,” katanya ditemui di program Selvax bergerak Hulu Bernam hari ini.

Bermula 3 Oktober kerajaan membenarkan pelajar berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI hadir ke sekolah di negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu bekas pesara guru sanggup mengenepikan rasa gerun terhadap jarum selepas melihat ‘keistimewaan’ diberi kepada individu lengkap vaksin.

Pesara guru Che Putih Yatin, 79. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Che Putih Yatin, 79, berkata berikutan dirinya tidak mengambil vaksin, beberapa urusan tergendala menyebabkan dia berdepan beberapa masalah.

“Banyak urusan bank tak dapat buat, masuk kedai makan pun tak boleh, jdi saya beranikan diri untuk dicucuk, tak rasa sakit pun,” katanya.

Warga emas Masnah Anam, 83, berkata dia agak ketinggalan mendapatkan suntikan ekoran tahap kesihatan yang kurang memuaskan.

Warga emas Masnah Anam, 83. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kaki sakit masa nak datang hari tu (Selvax Komuniti) jadi terpaksa tolak. Semalam anak bagi tahu ada cucuk vaksin dekat sini jadi saya datang dengan jiran,” katanya.

Selvax bergerak bermula 13 September memperuntuk 50,000 dos vaksin jenis Sinovac bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia berjalan seminggu melibatkan 11 DUN iaitu Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini

 


Pengarang :