Selangorkini
Renjer Jabatan Perhutanan Negeri menunjukkan kawasan sempadan hutan simpan ketika tinjauan ke Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Kuala Langat pada 26 Febuari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibawa ke Selcat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Isu penyahwartaan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan dibawa ke sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menegaskan Kerajaan Negeri mematuhi semua prosedur dan tatacara undang-undang sepanjang proses penyahwartaan sebelum ini.

“Sebagai sebuah kerajaan berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor (Ng Suee Lim) untuk mengadakan sidang Selcat bagi menjawab sebarang isu dibangkitkan berkenaan penyahwartaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada 8 September.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan keputusan menyahwarta HSKLU kecuali 104 ekar untuk pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga mempertimbang sebahagian kecil lagi kawasan kekal dinyahwarta untuk jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Hutan gantian seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Sabak Bernam; Ampang Pechah, Hulu Selangor dan Bukit Broga, Hulu Langat turut kekal sebagai hutan simpan kekal.

Kawasan itu dicadang menggantikan 1,326 ekar di HSKLU yang dinyahwarta.


Pengarang :