Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 26 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu pencen golongan B40 antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Kenaikan bayaran pencen bagi golongan B40 adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bertanya kepada Perdana Menteri sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan itu selaras dengan kos sara hidup yang tinggi, selain ramai yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik Covid-19 pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai cabaran dihadapi sektor pembinaan akibat Covid-19 dan bantuan dihulurkan kerajaan kepada sektor itu.

Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 serta pelan tindakan kerajaan dalam mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, dibangkitkan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri.

Turut dibangkitkan ialah persiapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan vaksin sendiri serta vaksin terhadap varian baharu yang diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Semalam, seramai 29 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

– BERNAMA


Pengarang :