Kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam semakin membimbangkan di Selangor sejak 2019. Trend itu menurun tahun ini berikutan kes tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais cadang wajibkan kursus pascakahwin atasi kes cerai tinggi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bercadang mewajibkan kursus pascaperkahwinan sebagai usaha mengurangkan kes penceraian di negeri ini.

Ketua penolong pengarah bahagian undang-undang keluarganya berkata terdapat empat modul yang dilaksanakan ketika ini bagi membantu pasangan memperkukuh perkahwinan.

Nik Suhaila Nik Hussin menjelaskan modul itu meliputi fasa bulan madu bagi usia perkahwinan satu hingga lima tahun dan fasa semarak kasih (enam hingga sembilan tahun).

“Fasa sehati sejiwa pula untuk perkahwinan antara 11 hingga 20 tahun manakala syurga cinta bagi pasangan berkahwin 21 tahun ke atas.

“Walaupun tidak diwajibkan, kita sentiasa menguar-uarkan modul pascaperkahwinan ini dan kebiasaan yang mengikutinya fasa syurga cinta kerana mungkin mereka tiada kekangan atau komitmen,” katanya.

Bercakap pada program bual bicara di Facebook Media Selangor malam tadi, Nik Suhaila berkata
sebanyak 2,621 pasangan bercerai setakat Julai dan kebanyakan berkahwin sekitar lima tahun.

Beliau menjelaskan jumlah penceraian tertinggi direkodkan pada 2019 membabitkan 9,438 pasangan manakala sekitar 7,683 pasangan berpisah tahun lalu.

“Walaupun mencatat penurunan ketara pada tahun ini, ia mungkin disebabkan terdapat beberapa kekangan untuk berurusan di mahkamah syariah,” katanya.


Pengarang :