Selangorkini
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman (dua, kiri) bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) melihat petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 pada program vaksinasi khas guru Kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Jais nasihat Sajat pulang, isu berkaitan undang-undang

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menasihatkan usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat supaya pulang ke tanah air.

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad berkata perkara itu berkaitan undang-undang dan belum tentu beliau disabitkan bersalah.

“Hakim lihat berdasarkan fakta di hadapannya dan Sajat kena faham isu ini. Benda ini isu kecil sahaja. Beliau buat polemik serta jadikan keadaan huru-hara,” katanya selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Shahzihan menjelaskan sekiranya Sajat menerima ancaman bunuh seperti didakwa beliau perlu tampil membuat laporan polis.

“Kita ada undang-undang. Sila buat laporan berhubung perkara itu sama ada dilakukan dalam kalangan anggota Jais atau rakyat,” katanya.

Pada 8 September lalu Sajat ditahan pihak Imigresen Thailand ketika berlindung di sebuah kondominium mewah di Bangkok dan ditahan bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.

Beliau dikehendaki di negara ini selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lepas mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Pada 6 Januari lalu Sajat dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam 23 Februari 2018.


Pengarang :