Beberapa pelajar mendaftar sebelum berangkat ke Jordan dalam Program Penghantaran Pelajar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Jordan di Jais pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jais urus 65 pelajar sambung pengajian ke Jordan

SHAH ALAM, 16 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menguruskan pemergian 65 pelajar bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jordan, kata pengarahnya.

Dato’ Shahzihan Ahmad berkata jumlah itu turut melibatkan dua pelajar yang mendapat tajaan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar serta lima pelajar biayaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurutnya semua mereka termasuk dua pegawai Jais yang bertanggungjawab menguruskan proses pendaftaran pelajar berlepas jam 2 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Program Penghantaran Pelajar Jais ke Jordan di Jais pada 15 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Akan datang Jais menguruskan pemergian 23 pelajar ke Mesir selepas mendapat kebenaran dari Kementerian Pendidikan Tinggi. Mereka sepatutnya pergi tahun lalu tapi tergendala kerana Covid-19” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelepasan rombongan pelajar berkenaan di perkarangan bangunan Jais malam tadi.

Sementara itu ketua pegawai eksekutif LZS berkata pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 menaja lima pelajar termasuk seorang anak asnaf miskin sepanjang pengajian terbabit.

“Jumlah itu termasuk yuran tahunan, wang persediaan, tiket pergi dan balik, pembelian buku serta belanja sara hidup.

“Mereka ini antara yang terbaik selepas sesi temuduga. Kita harap mereka akan membawa pulang kejayaan dan boleh menabur bakti di Selangor nanti,” katanya.


Pengarang :