Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JKNS: Bekalan PPE di Selangor cukup hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memberi jaminan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan di negeri ini mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada mana-mana pihak bagi membantu kelancaran tugas anggota kesihatan dalam menangani pandemik Covid-19.

“Sebenarnya kita telah membuat unjuran keperluan PPE (cukup) hingga akhir tahun ini, namun dengan adanya (sumbangan) tambahan daripada badan bukan kerajaan (NGO), ia akan lebih bermakna.

“Peralatan ini bukan sahaja digunakan kakitangan dan anggota kesihatan JKNS tetapi pihak lain yang turut memerlukan untuk bersama memerangi wabak,” katanya pada majlis pelancaran tabung wira Covid-19 di Ibu Pejabat JKNS di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menerima sumbangan 10,000 set pakaian perlindungan diri, 4,000 unit pelitup muka, 2,000 unit pelindung muka termasuk alat perubatan bernilai RM296,800 daripada Yayasan Ikhlas dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Kelengkapan tersebut akan disalurkan ke pejabat kesihatan daerah (PKD) Gombak dan Petaling untuk kegunaan petugas hadapan di pusat penilaian Covid-19 (CAC).

Sementara itu, mengulas situasi di Selangor, Dr Sha’ari yakin rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal berdasarkan corak jangkitan wabak sejak kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, kes di Selangor terus berkurang. Insya-Allah, suatu hari nanti kita akan hidup normal seperti mana dilalui sebelum ini tanpa Covid-19,” katanya.


Pengarang :