Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital bukan rawat Covid-19 turun kepada 77 peratus

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit wabak di hospital yang bukan merawat kes Covid-19 dan hibrid di Selangor menurun kepada 77 peratus sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan situasi berkenaan berbeza dengan sebelum ini apabila semua hospital itu mencatatkan 130 peratus penggunaan katil ICU.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman bagaimanapun berkata kadar penggunaan katil ICU di empat hospital khusus merawat Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang masih tinggi sekitar 94 hingga 100 peratus.

“Keadaan pesakit sangat kritikal dan komorbiditi pesakit yang kompleks menyebabkan mereka memerlukan rawatan serta pemerhatian lebih lama di ICU.

“Selain itu, kadar penggunaan katil di wad untuk hospital khusus merawat pesakit wabak dan hibrid Covid-19 menurun kepada 55 peratus berbanding 150 peratus sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 4,723 pesakit Covid-19 daripada pelbagai kategori sedang dirawat di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) setakat hari ini.

Menurutnya, jumlah itu menurun berbanding 6,613 pesakit pada Ogos dan 7,080 pada Julai.

 

 


Pengarang :