Orang kelainan Upaya (OKU), Muhammad Hanafi Shamsuri, 22, menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS Bandar Baru, Kuala Selangor pada 26 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kadar kematian individu lengkap vaksin hanya 90 setiap sejuta penduduk

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Kadar kematian dalam kalangan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 di Malaysia adalah 0.009 peratus, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kadar kematian bagi individu yang telah menerima vaksin di Malaysia adalah 90 orang bagi setiap sejuta penduduk yang diberi vaksin.

Data ini, kata Khairy, menunjukkan bahawa vaksin berfungsi dan dapat menyelamatkan nyawa, tanpa mengira jenis vaksin.

“Oleh itu, dapatkanlah vaksin dan jangan ragu-ragu bahawa vaksinasi tidak dapat membantu anda,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Mengenai kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), Khairy berkata sebanyak 2,417 kes BID akibat COVID-19 telah dikesan di seluruh negara setakat Ogos tahun ini dengan 86 peratus daripadanya bukan di bawah pemantauan perubatan.

“Daripada 2,417 kes BID setakat Ogos, hanya 14 peratus berada di bawah jagaan Kementerian Kesihatan, pejabat kesihatan daerah atau klinik swasta,” katanya.

Khairy juga berharap strategi dan usaha mengatasi jumlah kes BID dari mereka yang tidak menjalani pemantauan perubatan dapat ditingkatkan.

“Kami (Kementerian Kesihatan) sedang meneliti… Kami telah mengarahkan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) supaya meneliti kes-kes yang tidak berada di bawah pemantauan perubatan untuk mengetahui mengapa hal itu terjadi supaya dapat memberi nasihat kepada orang ramai dengan lebih baik, ” katanya.

—  BERNAMA

 

 

 

 


Pengarang :