Penyelia Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Nooraini Ahmad Zaki memberi kauseling kepada guru Kafa ketika program vaksinasi khas guru Kafa dan pegawai masjid di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri, Shah Alam pada 22 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jabatan Kesihatan luang 30 minit nasihati kakitangan agama tolak vaksin

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) meluangkan masa hampir setengah jam semalam untuk memberi konsultasi kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Nooraini Ahmad Zaki yang ditugaskan di stesen kaunseling dalam Program Vaksinasi Khas Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kebanyakan kumpulan itu tidak bersedia menerima vaksin.

“Selain itu, ada juga sebahagian daripada mereka mahukan vaksin jenis lain berbanding yang diberikan Pfizer. Bagaimanapun kita tetap mendengar keluhan mereka dan akan membantu sebaik mungkin supaya mereka dapat vaksin.

“Secara peribadinya, saya agak sedih dan kecewa kerana tindakan ini memberi risiko kepada pelajar tetapi pada masa sama gembira kerana ada juga guru yang menerima penerangan dan bersetuju divaksin,” katanya ketika ditemui di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sementara itu, wanita dikenali sebagai Aminah pula memaklumkan dia memutuskan untuk menerima vaksin kerana akur dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Saya mendapat surat dan akur dengan titah Tuanku dan satu sekolah akur dengan arahan diberikan. Saya menolak mengambil vaksin kerana risau dengan keselamatan jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zaleha  enggan menerima vaksin kerana takut melihat kesan suntikan yang dialami adik-beradiknya.

“Saya khuatir kerana adik-adik menerima alahan teruk selepas divaksin. Selain itu saya juga masih menyusukan anak kecil berusia setahun,” katanya.

 


Pengarang :