Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis perasmian bilik gerakan utama Jentera Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor di Seksyen 13, Shah Alam pada 7 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN harus cekal bawa cabaran reformasi, wujud penyatuan bangsa

SHAH ALAM, 5 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) harus cekal membawa cabaran reformasi ke arah mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan muafakat.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cabaran penting perlu digalas ketika ini adalah mengubah pandangan terhadap kebudayaan serta hubungan kaum dan agama.

“Di saat pandemik, kemuafakatan merupakan perkara besar tetapi amat malang ketika ada sebahagian mereka membicarakan politik (dengan) membakar sentimen perkauman, takutkan dan bimbangkan antara satu sama lain.

“Solusi non-racial (diskriminasi kaum) merupakan solusi penting yang patut dibawa dan inilah dikatakan perang dan cabaran kebudayaan pemikiran. Jadi, jangan anggap kita lemah kerana kita ada reformasi.

“Kita yang yakin dengan perjuangan harus memandang ke depan dan kena lengkapkan (cabaran),” katanya pada program pentas rakyat sempena 23 tahun reformasi anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dan Akademik Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia secara langsung menerusi Facebook malam tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata KEADILAN juga harus berbangga kerana berjaya merungkai isu rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikaitkan dengan pimpinan terdahulu negara.

“Semangat itu bukan hanya datang dua atau tiga tahun orang dedahkan, tetapi kerana secara konsisten parti KEADILAN mengangkat persoalan ini dan disambut oleh rakyat secara keseluruhan.

“Kita berada di landasan yang benar bukan hanya menyalin kulit atau bertopengkan suara (tetapi) kalimat reformasi yang telah mengangkat hasrat dan perjuangan ini,” kata Amirudin lagi.


Pengarang :