Fahmi Fadzil berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN Lembah Pantai dan perasmian jentera PRU15 di Signature Hotel, Jalan Pantai Baharu pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN sambut baik keputusan batal nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyambut baik tindakan Kerajaan Selangor membatalkan keputusan menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata parti itu juga menghargai langkah Selangor mengekalkan kawasan gantian seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang (Sabak Bernam), Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat).

“Kami merakamkan penghargaan buat Dato’ Menteri Besar yang terbuka menerima pandangan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu menerusi kenyataan, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan pimpinannya membatalkan keputusan menyahwarta HSKLU kecuali kawasan untuk pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Beliau menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga memutuskan sebahagian kecil kawasan juga kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kerajaan Selangor turut menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan yang sebelum ini dinyahwarta dan membatalkan pemberian milik tanah itu kepada syarikat berkenaan.


Pengarang :