Pengunjung mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berkelah di Sungai Batang Kali di Hulu Selangor yang pada ketika ini masih dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih pada 23 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri pastikan sumber air Sungai Batang Kali terpelihara

SHAH ALAM, 24 SEPT: Setiap insiden pencemaran air diambil tindakan segera agensi Kerajaan Negeri bagi memastikan sumbernya terpelihara, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata sehingga kini tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan premis yang dilesenkan di kawasan Sungai Batang Kali mahupun gangguan terhadap ekosistem di sungai itu.

“Pensampelan kualiti air dan pemantauan pematuhan lesen juga dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2019 hingga 2023, guna tanah utama adalah kawasan hutan meliputi 51.7 peratus, diikuti kawasan pertanian (35.67 peratus).

Katanya berikutan kepesatan pembangunan, terdapat beberapa aktiviti kerja tanah membabitkan penternakan, akuakultur, pengorekan dan pencucian pasir, pertanian, perumahan dan eko-pelancongan di kawasan Sungai Batang Kali.

“Berdasarkan rekod Majlis Daerah Hulu Selangor pada 2016, terdapat tujuh resort dan chalet di kawasan tersebut yang kedudukannya berhampiran Sungai Batang Kali dan Sungai Tamu.

“Selain itu semakan awal LUAS mendapati premis yang menjalankan aktiviti akuakultur (Tilapia Merah) berkeluasan 0.41 hektar berhampiran Sungai Batang Kali berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS).

“Premis telah beroperasi selama 10 tahun dengan anggaran 29 kolam selain mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS yang sah sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.

Tambahnya segala aktiviti lain yang melibatkan sumber air di kawasan Sungai Batang Kali telah dilesenkan LUAS di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012.

“LUAS juga telah mengeluarkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber kepada masing-masing dua aktiviti pengorekan pasir serta naik taraf jambatan dan tebing sungai.

“Turut dikeluarkan Lesen Abstraksi Air Permukaan melibatkan lapan premis termasuk aktiviti akuakultur tersebut,” katanya.

Beliau mengulas laporan khas Bernama semalam yang mendakwa Sungai Batang Kali berpotensi menjadi ‘sungai mati’ ekoran daripada aktiviti akuakultur (Tilapia Merah) selain projek pembangunan lain di kawasan berhampiran sungai tersebut.


Pengarang :