Kumpulan Caliph Buskers membuat persembahan pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri, persatuan bincang bantu pemuzik jalanan

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Persatuan Busker Negeri Selangor bagi mencari idea baharu dalam membantu pemuzik jalanan.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata kali terakhir kerjasama antara kedua pihak adalah menerusi projek Kita Buskers Selangor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kita perlukan perancangan semula kerana program di PPV telah berakhir dan akan adakan perbincangan dengan persatuan itu untuk program lain selepas ini.

“Jalan terbaik akan dicari dalam membantu pemuzik jalanan kembali menjana pendapatan khususnya selepas Selangor beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 7 Ogos, Borhan berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Setakat ini, seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui projek tersebut dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.

Projek selama sebulan mulai 15 Ogos membabitkan PPV Bangi Avenue, Sunway, Dewan MBPJ, MSU Shah Alam, Tanjung Sepat dan Gombak.


Pengarang :