Anggota bomba di lokasi kejadian dua beradik ditimpa pokok di Serendah River pada 26 Sept 2021. Foto Ihsan JBPM
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sedia van, urus jenazah kanak-kanak maut ditimpa pokok

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri membantu menyediakan sebuah van untuk membawa jenazah kanak-kanak yang maut ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River, Hulu Selangor untuk urusan pengebumian.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata van jenazah disediakan badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team Selayang untuk membawa jenazah mangsa berusia 10 tahun itu ke tanah perkuburan.

“Bantuan disediakan pusat khidmat rakyat penyelaras DUN Batang Kali seperti diminta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memudahkan keluarga mangsa yang bukan berasal dari Batang Kali.

“Difahamkan, jenazah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran rumah keluarganya di Saujana Putra, Kuala Langat selepas prosedur pengesahan kematian selesai di Hospital Kuala Kubu Bahru,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pengurusan jenazah kanak-kanak terbabit akan dipermudahkan melalui pejabat penyelaras DUN Batang Kali.

Petang kelmarin, seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River.

Mangsa dilaporkan mandi bersama abangnya berusia 11 tahun yang turut cedera dalam kejadian terbabit.


Pengarang :