Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan PAKATAN tidak pernah lupus milikan tanah rizab Batu Caves

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli memaklumkan sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Menurutnya tapak Batu Caves seluas 329.75 ekar telah diwartakan sebagai tanah rizab bagi tujuan rekreasi awam pada 17 Jun 1930.

“Sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali iaitu seluas 28.719 ekar pada 26 Ogos 1954, 17.45 ekar dan 77.475 ekar pada 30 April 1959 serta 29.78 ekar pada 3 Januari 2008.

“Oleh demikian baki lot rizab Batu Caves adalah seluas 242.326 ekar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata semenjak 13 Mac 2018, Kerajaan PAKATAN tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves tersebut.

“Ini jelas bahawa pertimbangan dan keputusan yang dilakukan adalah ketika pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan portal freemalaysiatoday.com ‘Explain land grants within Batu Caves Reserves, NGO’s tell Selangor’ pada 10 September lalu berkenaan tanah rizab di Batu Caves yang dibatalkan pewartaan menjadi hak milik tanah persendirian.

 

 


Pengarang :