Kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan sampel air liur. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan pertimbang turun harga maksimum kit ujian kendiri lebih awal

KUALA TERENGGANU, 27 SEPT: Kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan harga kawalan baharu kit ujian kendiri Covid-19 yang lebih murah lebih awal, berbanding jangkaan pada Disember ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pada masa ini kementerian giat mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan supaya kit ujian kendiri tersebut dapat segera dijual dengan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata bagaimanapun dalam masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit dengan kit ujian kendiri tersebut.

“Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat dalam tempoh ini dan lain-lain kelonggaran di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa akan menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 ini sebagai alatan perubatan penting yang amat diperlukan.

“Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri Covid-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat. Oleh itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan pemain industri juga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata hasil pemeriksaan penguat kuasa kementerian di 3,106 premis seluruh negara sejak harga kawalan kit ujian kendiri Covid-19 dikuatkuasakan pada 5 Sept lalu, terdapat 348 premis yang menjual di bawah paras harga kawalan RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong manakala 2,554 premis menjual kit tersebut mengikut harga kawalan.

“Kementerian menyambut baik inisiatif pemain industri yang peka dengan situasi semasa dan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan rakyat dengan menawarkan kit ini pada harga lebih rendah daripada harga kawalan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Rosol berkata penjualan kit ujian kendiri tersebut akan diperluaskan ke premis selain farmasi dan klinik seperti pasar raya serta kedai serbaneka, seawal Oktober ini.

“Sebelum itu kementerian perlu terlebih dahulu memastikan premis-premis yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat-syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :