Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai @ Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Selangor gesa masyarakat segera ambil vaksin

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri menasihatkan masyarakat supaya segera mendapatkan suntikan pelalian untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya mendapati masih terdapat segelintir rakyat di Negeri ini yang enggan mengambil vaksin walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

“Memang mengambil vaksin hak masing-masing tetapi pada masa sama hak majoriti juga perlu dilindungi.

“Saya mohon cukuplah media sosial menguar-uarkan perkara yang tidak berasas yang menyebabkan banyak program ditangguhkan. Keengganan orang Melayu Islam mendapat suntikan hanya menyebabkan kita tidak mendapat kelulusan sepenuhnya untuk membuka semula masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini yang dihadiri Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Mengulas mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, Dr Siti Mariah memaklumkan Kerajaan Negeri tiada masalah untuk membantu Kerajaan Pusat melaksanakan usaha tersebut.

“Namun buat masa ini Kerajaan Pusat tidak menyatakan apa-apa kerana vaksin yang diberikan adalah Pfizer.

“Program ini dikendalikan Kementerian Pendidikan dan percaya lebih mudah memberikan vaksin kepada remaja. Jika timbul keperluan Kerajaan Negeri tiada masalah,” katanya.


Pengarang :