Pekerja Farmasi Nur Hamizan Fitri Norhisham meletakkan tanda harga pada beberapa jenis kit ujian pantas antigen Covid-19 yang kini dijual pada harga baharu ketika tinjauan di sekitar Bangsar pada 5 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan teliti jual kit ujian kendiri di kedai serbaneka, pasar raya

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan sedang meneliti kebenaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di kedai serbaneka dan pasar raya selain farmasi bagi memudahkan orang ramai, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata pada masa sama harga siling peralatan itu juga akan diturunkan daripada RM19.90 bagi jualan runcit untuk membolehkan lebih banyak ujian dijalankan.

“Kit ujian kendiri ini dilihat sebagai suatu normal baharu yang akan menyokong proses pemulihan negara apabila lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan selepas ini,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata sehingga kini sebanyak 18 kit ujian kendiri telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan beberapa jenama baharu sedang diteliti yang nilai sensitivitinya harus melebihi 90 peratus.

Jelasnya, ujian menggunakan kit itu dapat memudahkan proses pengesanan, pengawalan jangkitan dan mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Bagi kes yang positif menerusi ujian kit pantas antigen (RTK-Ag), individu tersebut akan terus diarah untuk isolasi dan pengasingan.

“Bagaimanapun, pengesahan menerusi RT-PCR (ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik) tetap dijalankan,” katanya.


Pengarang :