Pengunjung beratur menunggu giliran sebelum dibenarkan masuk ke salah sebuah premis di Kompleks PKNS, Shah Alam yang kembali beroperasi pada 6 Mei 2020 selepas ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama Shopee, Lazada bantu peniaga kompleks PKNS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan bekerjasama dengan Shopee dan Lazada bagi mempromosikan produk peniaga di Kompleks PKNS Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dicadangkan berikutan penyedia platform e-dagang itu menjadi trend pembelian pada masa kini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjelaskan penganjuran jualan penghabisan stok juga boleh dirancang sebagai langkah membantu peniaga berkenaan.

“Kursus-kursus perniagaan secara dalam talian juga boleh diberikan kepada peniaga sebagai persediaan bagi menjalankan perniagaan di waktu pendemik ini,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga dapat terus menjalankan perniagaan pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada 23 Jun lalu, Amirudin mengumumkan empat kempen e-dagang Kerajaan Negeri menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri serta RM144.7 juta jualan terus.

Kempen dengan kerjasama Shopee dan Lazada yang membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu.


Pengarang :