EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud ditemui SelangorKini selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 menurun, Hospital Selayang dan Serdang kini hibrid

SHAH ALAM, 22 SEPT: Hospital Selayang dan Hospital Serdang kini merupakan hospital hibrid susulan kes Covid-19 mencatat penurunan, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata kedua-dua hospital itu kini bukan lagi berstatus merawat pesakit wabak sepenuhnya dan bertukar kepada hibrid sejak pertengahan bulan ini.

“Hospital Selayang dan Serdang dijangka bukan lagi menjadi hospital Covid-19 pada 30 Oktober depan susulan penurunan kes serta kadar kesembuhan meningkat.

“Semua pesakit akan dihantar ke Hospital Ampang dan Sungai Buloh untuk menerima rawatan,” katanya pada sidang media di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini.

Menurut Dr Mariah kapasiti katil di wad melibatkan lapan hospital juga mencatat penurunan iaitu 2,891 pada 21 September berbanding 25 Ogos lalu sebanyak 5,012.

“Manakala di wad unit rawatan rapi (ICU) pula sehingga semalam 231 katil digunakan berbanding 327 bagi tempoh sama.

“Kadar kesembuhan juga mencatat peningkatan sehingga 97.1 peratus dengan kes aktif 10,656 serta daerah Petaling, Hulu Langat dan Klang masih mencatat kes tertinggi disebabkan kepadatan penduduk,” katanya.

Pada 2 Oktober tahun lalu, Hospital Sungai Buloh menjadi yang pertama beroperasi sebagai hospital merawat Covid-19 sepenuhnya.

Manakala pada 23 Jun lalu, JKNS memutuskan pertukaran status Hospital Ampang kepada hospital penuh merawat wabak diikuti Hospital Selayang pada 21 Julai lalu.

Susulan peningkatan kes pada 29 Julai Hospital Serdang menjadi hospital keempat di Selangor ditukar status untuk merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya.


Pengarang :