PBTSELANGOR

Kes denggi di Sepang turun lebih 80 peratus

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sepang merekodkan 299 kes demam denggi setakat 26 September, turun 86.3 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pada minggu epid sama tahun lalu sebanyak 2,179 kes demam denggi dilaporkan.

“Penurunan mendadak kes demam denggi berlaku apabila pada minggu epid ke-38 tahun ini mencatatkan perbezaan sebanyak 1,880 berbanding minggu sama tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Abd Hamid berkata jumlah kes demam denggi di daerah itu juga menunjukkan konsisten sepanjang minggu epid ke-34 hingga minggu epid ke-38.

Beliau menjelaskan pada minggu epid ke-34 sebanyak lima kes demam denggi didaftarkan diikuti minggu epid ke-35 (empat), minggu epid ke-36 (tujuh), minggu epid ke-37 (empat) dan meningkat 11 kes pada minggu epid ke-38.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihat terus menjaga kebersihan dengan memastikan tiada takungan air di sekeliling kawasan kediaman.


Pengarang :